suria

Kemelut Kedah: Azizan Dakwa Dapat Simpati

GURUN: Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kemelut membabitkan dua anggota exconya yang menolak pelantikan semula jawatan mereka, tidak menggugat parti atau menjejaskan kedudukannya.

"Dalam isu ini saya yakin mendapat simpati ahli-ahli PAS. Orang PAS sayang pada parti. Jika ada usaha mengganggu-gugat parti, mereka akan lebih simpati," katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas keengganan Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dilantik semula.

Phahrolrazi yang juga Timbalan Pesuruhjaya I dan Dr Ismail, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kedah, bagaimanapun dilaporkan berkata akan menerima tawaran itu jika syarat mereka dipenuhi.

Kedua-duanya tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah di hadapan pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, Selasa lepas.

Azizan, yang ditemui semasa melakukan lawatan kerja ke tapak bijih besi di sini pada Khamis, berkata beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai segala tindakannya namun berharap isu itu dapat diselesaikan secara baik.

Mengenai Phahrolrazi yang didakwa memberi kata dua kepada seorang lagi anggota exco, Datuk Amiruddin Hamzah, supaya melepaskan jawatan itu agar untuk dapat bersama-sama memberi tekanan kepadanya, Azizan berkata beliau perlu mengetahui perkara itu lebih jelas sebelum membuat ulasan.

Phahrolrazi, selaku Yang Dipertua PAS bahagian Kuala Kedah, berkata keputusan mengarahkan Amiruddin melepaskan jawatan exco dicapai pada mesyuarat PAS bahagian itu pada 17 Februari lepas dan surat berkenaan dihantar kepadanya semalam.

Semalam Phahrolrazi berkata Amiruddin sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, hendaklah mematuhi keputusan mesyuarat itu yang mahu beliau (Amiruddin) melepaskan jawatan Exco atau akan dipinggirkan di bahagian.

Azizan berkata dalam perlembagaan PAS tiada ahli boleh dipinggirkan jika enggan mengikut perbuatan yang bercanggah dengan kemahuan diri.

Amiruddin, yang ditemui di tempat sama, berkata mesyuarat itu sebenarnya berlangsung pada 24 Februari dan beliau tidak menghadirinya kerana menghadiri mesyuarat peringkat pusat di Kuala Lumpur.

"Saya jumpa mereka (jawatankuasa bahagian diketuai Naib Yang Dipertua bahagian Kuala Kedah, Nasir Mustafa) pada Ahad lepas. Mereka terangkan keputusan itu dan meminta saya juga bersama mereka. Saya jelaskan kepada mereka pendirian saya dan mereka nampak macam boleh terima.

"Setelah masing-masing faham pendirian masing-masing, kini timbul pula kata dua. Saya belum dapat surat yang dimaksudkan dan hanya akan ulas mengenai kemelut ini selepas menerima surat yang dimaksudkan nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain