suria

Imigresen Melaka Tahan 54 Rakyat Asing Di Tiga Tapak Pembinaan Di Melaka Tengah

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 54 rakyat asing dalam operasi penguatkuasaan di tiga tapak pembinaan di sekitar daerah Melaka Tengah di sini, Rabu.

Pengarahnya Kamalludin Ismail berkata kesemua mereka ditahan hasil pemeriksaan terhadap 221 rakyat asing dalam operasi bermula pada pukul 10.30 pagi hingga 3.30 petang melibatkan 60 anggota Imigresen dibantu 11 anggota Rela.

Beliau berkata mereka yang diperiksa terdiri daripada rakyat Indonesia, Bangladesh dan India berusia antara 20 dan 50 tahun.

"Siasatan awal mendapati 46 daripada yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas sah, seorang tinggal melebihi had tempoh masa dan tujuh menyalahgunakan pas lawatan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu dibawa ke Depot Tahanan Machap Umboo untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 serta Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain