Kereta Rempuh Rumah Ketika Penghuni Sedang Solat

SEREMBAN: Sebuah kereta merempuh sebuah rumah di Taman Tiroi Labu, Jalan Seremban-Labu malam Rabu ketika penghuninya sedang bersolat.

Namun dalam kejadian 8.45 malam itu, Ahmad Yusof, 48, dan anak perempuannya Khairul Baiyinah, 11, selamat.

Ahmad berkata, ketika dia dan anaknya sedang bersolat jemaah, beliau terdengar bunyi brek kenderaan yang kuat sebelum terdengar dentuman pada dinding bersebelahan biliknya sedang bersolat.

"Anak saya menjerit ketakutan dan memeluk saya. Saya kemudian keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya dapati sebuah kereta Toyota Camry sudah terbalik dan orang ramai sedang menolong mengeluarkan pemandunya yang cedera," katanya.

Ahmad berkata, dia kerugian hampir RM10,000 akibat dua buah motosikal, dinding rumah dan perkakasan dalam rumahnya rosak teruk.

"Saya sudah tinggal di sini sejak 26 tahun lalu dan ini adalah kejadian yang pertama berlaku. Saya bersyukur sebab saya dan anak saya selamat," kata Ahmad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain