suria

Polis Tahan Seorang Suspek Kes Pecah Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang remaja, yang disyaki terbabit dalam kes kecurian aksesori kenderaan melibatkan sembilan buah kereta di Petaling Jaya, Selasa, berjaya ditahan polis pada Rabu, ketika sekali lagi cuba melakukan jenayah itu di tempat yang sama.

Menurut polis, remaja itu ditahan di tanah lapang, di Jalan PJS5 berhampiran Taman Desaria, pada 1.30 pagi ketika sedang cuba mencuri aksesori sebuah kereta jenis Proton Waja.

Katanya remaja itu bergerak secara berkumpulan telah dikesan oleh polis peronda yang kebetulan meronda kawasan berkenaan dan pihak polis segera bertindak setelah mengesyaki kumpulan remaja itu di dalam keadaan meragukan.

"Polis berjaya menahan salah seorang remaja itu, manakala lima lagi melarikan diri. Siasatan awal mendapati remaja itu telah memecah tiga buah kereta sebelum polis tiba," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed mengesahkan penahanan suspek yang berumur 19 tahun itu.

"Pihak polis kini sedang mengesan lima lagi rakan suspek yang lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain