suria

APMM Tok Bali Tahan 14 Nelayan Vietnam

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 14 awak-awak dan dua tekong nelayan Vietnam kerana disyaki menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit yang sah.

Komander APMM Tok Bali Zainin Abdul Majid berkata pihaknya juga merampas dua bot, peralatan menangkap ikan dan sotong kering dengan nilai keseluruhan hampir RM1 juta.

"Dua bot berkenaan ditahan setelah didapati menangkap ikan di perairan kira-kira 110 batu nautika dari perairan Tok Bali pukul 12.40 tengah malam tadi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tok Bali di sini, Rabu.

Beliau berkata kesemua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong manakala RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak.

Sementara itu, tekong Wguyen Thauh, 40, ketika ditemui berkata harga sotong kering yang tinggi sehingga mencecah RM70 sekilo di Vietnam mendorong pihaknya melakukan pencerobohan di perairan negara ini.

Menurut jurubahasa keturunan Melayu Champa, Mohd Salleh Yusof, 56, kesemua nelayan yang berumur antara 16 hingga 48 tahun itu, berasal dari Tengah Vietnam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain