suria

Curi Air: Premis Pembekalan Ayam Di Nilai Diserbu

NILAI: Sebuah premis pembekalan ayam di kawasan perindustrian Nilai 3, dekat sini diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) pada Isnin selepas didapati menjalankan kegiatan mencuri air melalui penyambungan haram menggunakan paip jenis Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC).

Serbuan terhadap premis itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Sains bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kira-kira 10 pagi.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Hal Ehwal Awam Sains, Azlan Abdul Aziz berkata, operasi tersebut diadakan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya.

"Ketika serbuan, kami mendapati premis tersebut melakukan kesalahan melalui penyambungan tidak sah menggunakan paip jenis UPVC bersaiz 15mm. Kita turut menjalankan ujian klorin di lokasi tersebut dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Air yang diperoleh melalui penyambungan paip air secara tidak sah tersebut digunakan untuk pemprosesan ayam-ayam segar, katanya lagi.

Azlan berkata, pihak Span telah mengeluarkan notis memaklumkan kesalahan yang dilakukan kepada pemilik premis dan menyita paip UPVC berkenaan sebagai bahan bukti.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sains, katanya, akan terus meningkatkan pemantauan ke atas kegiatan curi air di seluruh negeri ini tanpa mengira sama ada pengguna komersial mahu pun domestik.

Katanya, tindakan tegas ini merupakan antara langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil.

Sehubungan itu, katanya, para pengguna yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol Sains 1-800-88-6982 dengan pemberi maklumat dirahsiakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain