suria

Peniaga Dipenjara Lapan Bulan Kerana Mencuri

GEORGE TOWN: Seorang peniaga dihukum penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Khamis setelah mengaku bersalah kerana mencuri lima kotak pelbagai jenis makanan di sebuah pasar raya, Jumaat lepas.

Majistret Noor Aini Yusof memerintahkan Mohd Yazid Ismail, 37, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 10 Feb lepas.

"Hukuman ini dibuat setelah mengambil kira faktor kepentingan awam. Tertuduh juga adalah pesalah ulangan terutamanya di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan mempunyai rekod kesalahan lampau.

"Kesalahan tertuduh juga merupakan satu kesalahan yang serius," kata Noor Aini.

Dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, Mohd Yusof didakwa mencuri lima kotak pelbagai jenis Brands Essence of Chicken bernilai RM269.60 di hadapan pintu pasar raya Sunshine City, Times Square, di sini pada pukul 10.55 pagi, 10 Feb lepas.

Ketika membuat rayuan, Mohd Yazid yang tidak diwakili peguam memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman denda sahaja kerana dia baru mendapat seorang anak dan isterinya tidak bekerja.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama seorang penganggur dipenjara 24 bulan selepas mengaku bersalah melakukan pecah rumah, tahun lepas.

Mahkamah memerintahkan tertuduh Natera Othman, 32, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 8 Dis 2011.

Natera mengaku salah memecah masuk sebuah rumah milik seorang warganegara Nepal, Manoj Gurung, di Blok 10-4-2, Flat Batu Bukit Tanjung Tokong, di sini di antara pukul 8 pagi hingga 6.30 petang, pada 8 Dis 2011.

Tertuduh didakwa mencuri sebuah komputer riba, dua buah telefon bimbit, sebuah beg galas, sebuah beg komputer riba, alat penyejuk komputer, dua buah kamera digital serta sebuah buku album mengandungi pelbagai jenis mata wang asing, yang kesemuanya dianggar bernilai RM4,000 dari rumah itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azizah Jaafar. - BERNAMA

Artikel Lain