suria

Pemuda MCA, Gerakan JB Minta Kerajaan Tangani Isu Tol EDL

JOHOR BAHARU: Pemuda MCA dan Gerakan Johor Baharu pada Khamis meminta kerajaan menangani isu harga tol Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) yang disifatkan akan membebankan pengguna yang keluar dan masuk ke negara ini.

Ketua Pemuda MCA Johor Baharu Kua Song Tuck berkata biar pun kadar caj itu belum diumumkan kerajaan, namun, orang ramai khususnya mereka yang bekerja di Singapura sudah mula melahirkan kebimbangan mengenainya.

"Kita dapat maklumat bayaran tol yang akan dikenakan kira-kira RM6.20 sehala apabila melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar. Orang ramai mengadu mereka tidak berpuas hati kerana harganya tinggi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan mengenai tol itu, di sini, Khamis.

Kua yang turut disertai Ketua Pemuda Gerakan Johor Baharu Chai Yit Shang, berkata beliau yakin isu tol berkenaan akan digunakan pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 bagi memancing undi di negeri ini sekiranya kerajaan tidak mengatasinya.

EDL sepanjang 8.1 kilometer dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Lebuh raya itu bertujuan menjimatkan masa dan menyelesaikan masalah kesesakan jalan terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan, di bandar raya ini.

Hanya pengguna keluar dan masuk dari Malaysia akan dikenakan bayaran tol manakala pengguna EDL yang tidak memasuki negara jiran terutama penduduk bandar raya ini yang ingin ke pusat bandar atau keluar menerusi susur Bakar Batu tidak perlu membayar sebarang tol. - BERNAMA

Artikel Lain