suria

Warga Myanmar Dijatuhi Hukuman Penjara Tujuh Tahun Dan Empat Sebatan

BUTTERWORTH: Seorang warga Myanmar yang bekerja sebagai tukang cat dan memasang jubin, pada Isnin dikenakan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana cuba menyeludup enam orang pendatang asing tanpa izin.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Chan Win, 40, mengaku bersalah atas kesalahan dengan membawa enam orang warga Myanmar dalam sebuah kenderaan Proton Perdana V6, di plaza tol touch n go Sungai Dua arah selatan pukul 11.30 pagi pada 10 Januari lepas.

Enam warga Myanmar itu ialah Tha Zin Htwe (perempuan, 29), Myo Min Soe (lelaki, 27), Myo Aung Aung (lelaki, 19), Naing Soe (lelaki, 19), Mio Thu Aung, (lelaki, 15) dan That Naing Lin (kanak-kanak lelaki, lapan tahun).

Bagi kesalahan pertama mengikut Seksyen 56A Akta Pemerdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007, tertuduh juga dikenakan hukuman penjara selama enam tahun mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana membawa enam orang migran.

Selain itu tertuduh juga dikenakan hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan memiliki 17 pas lawatan palsu mengikut Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Tertuduh juga dikenakan hukuman empat sebatan bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa permit yang sah mengikut Seksyen 56(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Ramlan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikmal Hishan menetapkan semua hukuman dijalankan serentak dari tarikh dia ditangkap. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain