suria

Perhilitan Rampas Kulit Harimau & Gading Di Kedah

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Negeri Kedah telah berjaya merampas beberapa bahagian anggota hidupan liar yang dimiliki tanpa lesen dan permit khas.

Hasil daripada intipan, serta maklumat yang diperolehi, seramai 12 orang anggota Jabatan Perhilitan Kedah telah menyerbu dan penggeledahan secara serentak di dua buah rumah di kawasan yang berasingan di kawasan Mukim Tokai, Pendang dan Kota Sarang Semut, Kota Setar kira-kira jam 3.15 pagi.

Hasil daripada serbuan di salah sebuah rumah tidak bernombor di Lot 30, Kampung Sungai Dedap, Kota Sarang Semut, Kota Star mereka telah berjaya merampas lapan keping kulit harimau belang (kesalahan di bawah Seksyen 68(1)(b)); sembilan batang gading gajah (Seksyen 68(1)(b); 22 bungkusan plastik yang disyaki berisi tulang hidupan liar (Seksyen 68(1)(b); Satu batang tanduk disyaki tanduk kijang (Seksyen 60(1)(b).

Pemilikan bahagian-bahagian anggota hidupan liar tersebut adalah salah di sisi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010 (Akta 716).

Pemilikan tanpa lesen satu tanduk dipercayai tanduk kijang boleh didakwa di bawah Seksyen 60(1)(b) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pemilikan tanpa permit khas lapan keping kulit Harimau Belang, sembilan batang gading gajah dan 22 bungkusan plastik yang disyaki mengandungi tulang-tulang hidupan liar jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau di penjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi setiap kesalahan.

Suspek yang merupakan seorang lelaki telah ditangkap dan ditahan reman di lokap Balai Polis Kota Setar sehingga siasatan lanjut dijalankan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain