suria

Mayat Anggota UNPOL Dijadual Tiba Ahad Ini - Richard Riot

SERIAN: Mayat anggota Polis Bangsa-bangsa Bersatu (UNPOL) Insp Benet Pawun, 52, yang meninggal dunia dipercayai akibat denggi di Dili, Timor Leste, dijadual tiba di sini pada petang Ahad ini.

Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata mayat mendiang diterbangkan ke Darwin, Australia semalam dan perlu dikuarantin selama empat hari sebelum boleh dibawa pulang ke tanah air.

"Ini amat menyedihkan. Mendiang bekas pelajar saya dan memandangkan beliau anak jati Serian, saya berikan perhatian peribadi dan memandangkan saya di Kementerian Luar, ini juga tanggungjawab saya," kata Riot yang juga Anggota Parlimen Serian.

Riot yang ditemui pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada 1,212 penerima di daerah ini kemudian melawat balu mendiang, Clare Baor dan keluarganya di Taman Anggerek, Km 64 Jalan Kuching-Serian di sini.

Benet yang berlepas bersama pasukan Malaysia pada 13 Okt lepas untuk berkhidmat selama 12 bulan di negara tersebut, ditemui mati di kuartersnya pada Selasa dan dikatakan mengadu demam ketika menghubungi isterinya melalui Skype sebelum itu.

Beliau juga ada pulang bercuti selama 12 hari pada sambutan Krismas lepas.

Mayat Benet yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dijangka dikebumikan di kampungnya di Mayang Kawan, Tebakang, dekat sini.

Riot juga yakin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan memastikan kebajikan isteri dan enam anak mendiang terbela seperti mana mereka yang pernah berkhidmat di bawah payung pertubuhan itu sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain