suria

Polis Kenal Pasti Individu Terlibat Rasuah Bola Sepak

JOHOR BAHARU: Polis sedang mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terlibat dalam rasuah bola sepak di negara ini termasuk beberapa individu yang pernah dikenakan tindakan pada tahun 1994 atas kesalahan yang sama.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci mengenainya bagi memastikan gejala itu dapat diatasi.

"Pada 1994, seramai 126 pemain bola sepak dikenakan tindakan kerana terlibat dengan rasuah bola sepak dan kami mengesyaki ada di antara mereka terlibat dengan kegiatan terbabit ketika ini," katanya kepada pemberita selepas majlis keberangkatan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Tunku Ismail sempena keberangkatan itu diberikan taklimat mengenai keadaan keselamatan Johor dan kegiatan rasuah bola sepak daripada Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Menurut Abdul Jalil modus operandi yang digunakan dalam kegiatan itu masih sama iaitu mendekati para pemain dengan memberikan pelbagai hadiah istimewa sebelum menjerat mereka untuk menjual perlawanan. Sementara itu, Abdul Jalil berkata Tunku Mahkota Johor memberikan kebenaran kepada pihak polis untuk melakukan pemantauan secara menyeluruh terhadap pegawai dan pemain bola sepak Johor.

"Pendekatan yang bakal digunakan kepada pegawai dan pemain adalah selaras dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu menggunakan konsep 3E yang bermaksud Education (Pendidikan), Engagement (Perhubungan) dan Enforcement (Penguatkuasaan).

"Kita juga akan menjalankan pemantauan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadap pengadil perlawanan," katanya.

Katanya, pasukan Johor ketika ini merupakan pasukan yang bebas daripada sebarang kegiatan rasuah bola sepak berdasarkan kepada rekod jualan tiket dan pembayaran gaji pemain serta pegawainya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain