suria

Palanivel Ada Sebab dan Alasan Ambil Alih Kepimpinan MIC Perak

PUTRAJAYA: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel mempunyai sebab dan alasan tertentu bagi mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan parti itu di Perak daripada pemimpin veteran Datuk S. Veerasingam yang berkuat kuasa serta merta pada Ahad lepas.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata antara sebab adalah masalah dalaman kepimpinan MIC Perak dan kegagalan Veerasingam menyelesaikannya dengan bijak, lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada bila-bila masa.

Beliau juga tidak mahu memberitahu sama ada perkara pengambil alihan itu dibincang bersamanya oleh Palanivel sebelum mengambil keputusan itu, yang telah mencetuskan ketidakpuasan hati segelintir anggota MIC di Perak.

"Itu saya tak perlu cakaplah...ada bincang atau tidak. Daripada sistem kita (MIC), presiden tak perlu berunding dengan mana-mana pihak. Presiden mesti ada sebab dan alasan untuk mengambil tindakan itu," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini berkata keputusan itu diambil bagi memperkukuhkan lagi kedudukan MIC di negeri tersebut.

Beliau juga berkata langkah itu tidak dibuat secara mengejut tetapi telah difikirkannya buat sekian lama.

Bagaimanapun Veerasingam yang juga Penasihat Khas kaum India kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan itu secara positif, dengan berkata peralihan kuasa itu mampu meningkatkan sokongan rakyat terutama kaum India terhadap MIC. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

3 Penjenayah Ditembak Mati

Artikel Lain