suria

Rompakan Bersenjata Gagal, Mangsa Melawan, Penjenayah Lari

PADANG SERAI: Cubaan empat lelaki bersenjata parang panjang merompak sebuah kedai menjual alat telekomunkasi di sini malam Isnin digagalkan oleh pemilik kedai yang melawan dan bergelut dengan penjenayah.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata mulanya dua daripada empat suspek memakai topi keledar menyerbu masuk ke dalam kedai ketika pemilik dan bapanya hendak menutup perniagaan kira-kira pukul 8 malam.

"Dua suspek menunggu di luar sementera pemilik berusia 29 tahun itu berada di dalam dan bapanya berusia 60 tahun dalam sebuah bilik lain.

"Suspek menggertak meminta wang dan barang-barang seperti telefon bimbit tetapi pekedai enggan mematuhi malah melawan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Ghuzlan berkata, salah seorang suspek terus melibas parang terhadap mangsa menyebabkannya cedera di kepala dan lengan.

Beliau berkata, apabila mendengar jeritan, bapa mangsa keluar cuba menyelamatkan anaknya dan ketika itu salah seorang suspek terlepas parang yang dipegangnya.

"Bapa mangsa terus mengambil parang lalu dihunuskan ke arah kedua-dua suspek menyebabkan dua lagi rakan mereka masuk cuba membantu tetapi ketakutan terus cabut lari," katanya.

Polis kemudian menemui dua bilah parang yang digunakan suspek berhampiran pintu masuk kedai berkenaan.

Pemilik kedai itu dirawat di Hospital Kulim kerana luka akibat libasan parang manakala bapanya menerima rawatan pesakit luar kerana luka pada tangan selepas bergelut dengan suspek.

Ghuzlan berkata polis sedang mengenalpasti identiti semua suspek melalui rakaman kamera litar tertutup yang dipasang di kedai itu. - BERNAMA

Artikel Lain