suria

Mekanik Warga Iran Ke Tali Gantung Kerana Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang mekanik warga Iran dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 1,149.7 gram syabu dengan cara menelan dan menyembunyikannya dalam bagasi, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan Ahmadi Moharam Lotfollah, 23, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pintu 5, Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada 4 petang, 3 Feb 2010.

Ahmadi juga didakwa mengedar 274 gram syabu dalam tandas wad kecemasan 1C, Hospital Kuala Lumpur antara 3 Feb dan 5 Feb 2010.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh ditahan di KLIA bersama 12 paket dadah yang disimpan dalam bagasinya, dan telah mengeluarkan 39 kapsul dadah yang ditelannya di hospital.

Beliau berkata dalam pembelaannya, tertuduh mendakwa seorang rakan memintanya ke Malaysia selama dua hingga tiga hari atas urusan perniagaan komputer dan mendakwa sebaik tiba di negara ini, dia diarah menelan kapsul dadah sebelum rakannya ke tandas, dan ketika itulah dia ditahan.

"Keterangan pembelaan tidak kelihatan logik dan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Justeru tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi dengan satu-satunya hukuman mengikut Seksyen ini iaitu gantung sampai mati," katanya yang menyifatkan keterangan itu sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian kerana ia tidak pernah dibangkitkan sebelum ini di peringkat kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, pendakwaan memanggil sembilan saksi untuk memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan seorang saksi iaitu tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Kamalia Yahdi manakala tertuduh diwakili peguam Richard Ho. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain