suria

Perlu Tubuh Pasukan Pantau Aktiviti Di Pantai:Tengku Abdullah

KUANTAN: Pihak berkuasa di negeri ini perlu menubuhkan satu pasukan keselamatan bagi memantau keselamatan serta aktiviti orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai peranginan sekitar bandar Kuantan, titah Tengku Mahkota Pahang.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah pasukan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu perlu mengambil tindakan proaktif di kawasan berkenaan.

"Perlu ada 'board' untuk amaran kepada orang ramai, dan para pegawai penyelamat perlu beri tumpuan serius bagi mengawal keselamatan pengunjung yang datang ke situ.

"Budak-budak kita memang tak boleh nak kawal, tapi bila ada polis atau bomba, orang ramai mungkin segan sikit untuk turun ke laut," titah baginda kepada pemberita selepas melawat keluarga dua beradik yang mati lemas ketika mandi di Pantai Sepat Ahad lepas.

Baginda bertitah pengunjung juga selepas ini perlu lebih berhati-hati ketika mengunjungi kawasan pantai berkenaan kerana terbukti kawasan pantai itu sangat berbahaya dan ramai yang telah terkorban.

Tengku Abdullah dan isteri, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang melawat keluarga itu di Sungai Isap dekat sini pada Rabu turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu mangsa, Zaleha Abd Ghani.

Ahad lepas, keriangan Zaleha dan enam anaknya serta beberapa sepupu yang berkelah di pantai itu bertukar menjadi tragedi duka apabila dua anaknya, Mohd Zaiful Abu Talib, 13, Mohd Saiful Mohd, 11, mati lemas di pantai itu.

Sehari selepas itu, seorang pelajar Tingkatan Empat, Arvin Ratnam, 16, dari Air Putih dekat sini pula menjadi korban apabila lemas selepas dibawa ombak kuat.

Sementara itu, Zaleha yang juga seorang ibu tunggal ketika ditemui pemberita berkata beliau amat terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan akhir Mohd Saiful yang ingin berjumpa dengan bapa kandungnya.

"Dia (Mohd Saiful) ada cakap pada saya sebelum ini mahu jumpa bapanya, tapi saya tidak tahu bapanya sekarang tinggal di mana kerana telah lama terputus hubungan tetapi ada yang beritahu bapanya ada di Indera Mahkota dan sedang terlantar sakit angin ahmar," katanya dalam nada sebak.

Mengimbas kembali tragedi hitam itu, Zaleha berkata walaupun beliau tidak tahu berenang tetapi terpaksa menggadai nyawa demi menyelamatkan kedua-dua anaknya sehingga beliau sendiri hampir lemas di bawa arus deras.

"Anak-anak saya yang lain cuba meminta pertolongan orang ramai yang berada di situ tetapi tiada siapa yang berani terjun ke laut untuk selamatkan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

3 Lemas Di Pantai Kota Tinggi

Artikel Lain