Syarikat Penerbangan Kedua Terbesar Rusia Mendarat Sulung Di KLIA - Semasa | mStar

Syarikat Penerbangan Kedua Terbesar Rusia Mendarat Sulung Di KLIA

KUALA LUMPUR: Usaha tanpa henti bahagian pemasaran Malaysia Airports dan promosi agresif Tourism Malaysia terus membuahkan hasil bagi memastikan industri penerbangan kukuh semasa mengakhiri 2011.

Dan bagi mengakhiri tahun ini pada kedudukan yang positif, Transaero Airlines, syarikat penerbangan kedua terbesar Rusia, membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

Transaero, satu-satunya syarikat penerbangan dari Rusia yang beroperasi ke Kuala Lumpur, menawarkan penerbangan mingguan setiap hari Sabtu dari Moscow dan Kuala Lumpur dan sebaliknya, menggunakan pesawat Boeing 763 dengan konfigurasi 255 tempat duduk, demikian menurut Malaysia Airports dalam satu kenyataan.

Penerbangan sulung UN551 mendarat di KLIA hari ini dan telah diberikan sambutan cara Malaysia oleh Malaysia Airports dan Tourism Malaysia.

Ia berkata, Transaero telah menjalankan penerbangan sewa khas ke KLIA sejak beberapa tahun lepas dan mewujudkan permintaan pasaran yang mencukupi bagi laluan ini untuk syarikat penerbangan itu memulakan operasi berjadual.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Tan Sri Bashir Ahmad dipetik sebagai berkata: "Malaysia Airports amat gembira dengan keputusan Transaero memasukkan Malaysia ke dalam rangkaian mereka dan mewujudkan sambungan terus antara Malaysia dan Rusia.

"Perkhidmatan Transaero membuka pasaran baru untuk kami dan kami mengharapkan yang terbaik bagi operasi mereka di Kuala Lumpur.

"Kami mengharapkan syarikat penerbangan ini akan stabil dan mengukuhkan operasinya ke Kuala Lumpur dan meningkatkan kekerapan mereka ke KLIA tidak lama lagi."

Beliau berkata, kerjasama dan hubungan erat antara Malaysia Airports dan Tourism Malaysia serta dasar pro perniagaan Kementerian Pengangkutan berjaya membawa syarikat penerbangan dari Rusia itu ke Malaysia.

Transaero, syarikat penerbangan ke-57 yang menawarkan khidmat ke Kuala Lumpur, akan menyediakan akses mudah antara Kuala Lumpur dan Moscow serta mengembangkan perdagangan dua hala, pelaburan dan pelancongan bagi kedua-dua negara.

Pada 2011, selain daripada Transaero, KLIA juga menerima Air Koryo dan Lion Air, manakala Egypt Air membuat kemunculan semula ke KLIA.

Transaero, yang terbang ke China, Jepun, Thailand dan India, juga menawarkan perkhidmatan ke bandar-bandar utama Rusia dan juga merupakan syarikat penerbangan utama ke Kazakhstan.

Rangkaiannya meliputi banyak destinasi Eropah seperti Austria, Cyprus, England, Jerman, Greece, Israel dan Sepanyol.

Artikel Sebelum

Sokong Siapa Saja Calon Pilihan BN

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Bersatu umum keluar Pakatan Harapan