suria

Rakyat Harap 2012 Bawa Gelombang Positif

KUALA LUMPUR: Menjelang tahun baru 2012 pada Ahad, pastinya pelbagai azam dan perubahan positif mahu disematkan dalam diri setiap individu ke arah melakar kejayaan serta merealisasi impian.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi di ibu kota mendapati ramai mengharapkan 2012 membawa kehidupan yang lebih baik dan positif.

Penjawat awam, Tajul Ariffin Mohd Ali, 46, berazam meningkatkan prestasi kerjaya dan kualiti hidupnya sempena tahun baru ini.

"Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dijadualkan bermula Januari ini seakan memberi suntikan dan semangat baru untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Hasrizal Hassan, 28, pula berazam memiliki sebuah rumah bersama isterinya sebagai perancangan awal mereka pada tahun baru ini.

"Memiliki rumah adalah azam saya pada 2012 kerana ia aset kekal dan harganya akan sentiasa meningkat, dan saya berharap melalui Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang diumumkan oleh kerajaan pada tahun ini dapat merealisasikan impian saya," katanya.

Mohd Ariffin Khalid, 23, yang berkhidmat di Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) pula mahu lebih komited dalam perkhidmatannya.

"Sistem SBPA yang diperkenalkan disambut baik kerana kenaikan tangga gaji yang diberikan, dan insya-Allah saya akan memberikan lebih komitmen terhadap tanggungjawab serta tugasan yang digalas," katanya.

Peniaga, Sabariah Mohamad, 46, berazam memperluaskan lagi perniagaannya bagi menjana lebih pendapatan.

"Saya berharap dapat menyertai Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) tahun depan setelah terlepas peluang tahun ini. MR1M wajar diteruskan supaya orang ramai dapat menikmati harga makanan berpatutan dan berbaloi dengan apa yang dibayar," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain