suria

PPP Serah Senarai Calon Kepada Pucuk Pimpinan BN

KOTA BAHARU: Parti Progresif Penduduk (PPP) telah menghantar senarai calonnya bagi pilihan raya umum ke-13 kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Naib Presiden Kanan PPP Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Beliau berkata senarai nama 12 calon peringkat Parlimen dan negeri yang diyakini boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya itu telah diserahkan untuk pertimbangan pucuk pimpinan BN.

"Terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan terhadap calon-calon yang dipilih itu, tetapi diyakini boleh menang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan anggota dan penyokong PPP peringkat negeri, di sini petang semalam.

Turut hadir Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang juga Pengerusi PPP Kelantan.

D'Cruz yang juga Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan berkata, sebagaimana Umno, PPP sebagai parti komponen dalam BN akan memastikan calon yang diletakkan dalam satu-satu kawasan boleh menang sama ada peringkat negeri dan Parlimen.

Sebab itu, katanya PPP tidak menuntut ramai calon untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata PPP juga bersetuju meletakkan Nik Sapeia sebagai calon Parlimen Kuala Krai dan Dewan Undangan Negeri Manik Urai.

"Pemilihan calon itu memandangkan khidmatnya kepada masyarakat di kawasan itu begitu lama iaitu mencecah 38 tahun. Ini perlu bagi memastikan BN akan dapat merampas semula Kelantan daripada tangan Pas selepas mentadbir negeri ini lebih 20 tahun lepas," katanya.

Bagaimanapun, katanya keputusan sama ada mencalonkan Nik Sapeia itu terserah kepada sokongan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan merangkap Pengerusi B NNegeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

D'Cruz turut mengumumkan tidak akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini untuk memberi laluan kepada pemimpin lain. - BERNAMA

Artikel Lain