suria

NGO India Puji Sistem Pendidikan Vokasional Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dari India memuji sistem pendidikan vokasional di Malaysia kerana menawarkan latihan kemahiran kepada pelajar yang tidak cemerlang dalam akademik.

Setiausaha Agung Genesis of Educational Excellence India Talib Hussain berkata sistem itu unik kerana mengambil kira perubahan dalam sistem pendidikan global.

Talib mengetuai delegasi 68 orang terdiri daripada 13 guru dan 55 pelajar dari Rajasthan, Bihar serta Madhyapradesh yang berada di negara ini bagi lawatan dua hari untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sistem pendidikan di Malaysia.

"Tujuan kami ke sini ialah untuk mengetahui dengan lebih lanjut program vokasional di Malaysia, dan kami mendapati ia amat unik," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan sempena kunjungan mereka anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) Isnin.

Talib juga berkata beliau amat kagum dengan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia.

"Rakyat Malaysia amat ramah dan mesra... walaupun mereka berbeza budaya dan agama, namun masih boleh hidup bersama dalam keadaan harmoni serta saling menghormati.

"Malaysia merupakan antara negara yang saya rasa amat unik dan ia adalah disebabkan keindahan perpaduan rakyatnya," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden MBM Datuk Irmohizam Ibrahim berkata delegasi tersebut begitu tertarik dengan hubungan kaum dan adat resam, khususnya budaya perpaduan di negara ini.

"Mereka ingin belajar bagaimana perpaduan khususnya kepada generasi muda terjalin dan pengalaman yang mereka dapat di Malaysia akan dibawa pulang ke negara asal mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain