suria

Jangan Tuduh Umno Peralat Dua Pemimpin PAS - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak wajar bagi PAS menuduh Umno memperalatkan dua pemimpin parti pembangkang itu sebagai ejen Umno berikutan kritikan terbuka mereka terhadap kepimpinan PAS sendiri.

Beliau berkata Umno tidak pernah mencampuri urusan dalaman PAS dan ini terbukti apabila bekas Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa sendiri menyifatkan beberapa pihak dalam parti itu cepat melatah ekoran kenyataan beliau sebelum ini.

"Selain kenyataan Nasharudin, kritikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Ali bahawa PAS perlu kembali ke landasan perjuangan sebenar berdasarkan prinsip Islam, menunjukkan kelemahan di pihak parti itu sendiri," katanya.

Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian bagi mengulas kenyataan terbaru Nasharudin dan Hasan ketika ditemui pemberita selepas Upacara Perbarisan Tahunan dan Penyampaian Hadiah Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Sungai Besi di sini.

Katanya apa yang Nasarudin dan Hasan nyatakan adalah sesuatu yang sedang menjadi realiti dalam PAS sebab Umno tidak pernah memperalat sesiapa di dalam hal-ehwal parti lain.

Semalam, Nasharudin dalam satu kenyataan mengatakan beberapa pihak dalam PAS cepat melatah ekoran menuduh tindakannya menyuarakan pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan parti sebagai terperangkap dalam agenda Umno. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain