suria

SPAD Perlu Bincang Dengan KTB Mengenai Khidmat Bas City Liner Di Selangor

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mahukan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Konsortium Transnasional Berhad (KTB) berbincang dan mencari jalan bagi mengadakan semula operasi khidmat bas City Liner di negeri ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kira-kira 80,000 pengguna di Selangor akan terjejas berikutan tindakan Konsortium menggantung perkhidmatan mulai Rabu.

"Kita harap SPAD dan KTB akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin. Kita akan berbincang dengan SPAD bagi mencari penyelesaian alternatif jika masalah tidak selesai," kata beliau dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan melihat pada isu-isu utama masalah ini melibatkan mekanisme 'subsidi bersilang' yang diberikan kerajaan kepada KTB.

Pengarah Eksekutif KTB Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata syarikatnya akan hanya mengadakan semula perkhidmatan City Liner jika kerajaan negeri menawarkan "talian hayat".

Beliau berkata kerugian yang ditanggung KTB, pengusaha pengangkutan bas awam terbesar dalam negara, adalah terlalu besar untuknya meneruskan perkhidmatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain