suria

Pasukan Aurobatik Negara 'KRISAKTI' Dilancarkan

LANGKAWI: Krisakti, pasukan profesional aerobatik kebangsaan yang akan menjadi pasukan khas pertunjukan udara negara dilancarkan secara rasmi, pada Selasa. Pelancaran pasukan Krisakti yang ditubuhkan oleh syarikat Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (Aerotree) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2011 (LIMA '11) di sini.

Krisakti diambil bersempena nama senjata tradisi Melayu iaitu keris yang melambangkan kehebatan, kekuatan dan kekuasaan.

Aerotree mengambil inisiatif untuk menubuhkan pasukan profesional aerobatik itu sebagai membantu hasrat kerajaan yang mahu pasukan seperti itu diwujudkan untuk mewakili negara.

"Penubuhan pasukan ini akan menambah nilai nasional dan mengurangkan penggantungan terhadap negara asing bagi melakukan aktiviti-aktiviti seperti ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Penubuhan pasukan itu dapat memperkukuhkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dalam industri penerbangan.

"Pasukan ini akan mewakili Malaysia dalam membawa dan mendukung misi serta visi kepimpinan negara untuk seluruh acara yang akan dijalankan sama ada dalam negara, di rantau ini dan di peringkat antarabangsa," menurut kenyataan itu lagi.

Juruterbang pasukan ini mempunyai komposisi kumpulan yang terdiri daripada tujuh juruterbang mahir daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan awam sepenuh masa.

Pasukan ini juga mempunyai enam mekanik penyelenggaraan bersama beberapa jurutera awam dan juruteknik.

Buat masa ini, pasukan Krisakti menjalankan latihan dan operasi di Pangkalan TUDM Butterworth, Pulau Pinang.

Krisakti menggunakan empat buah pesawat berkipas 'Extra 300L' buatan Jerman.

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain