suria

Pembangunan Tanah Milik M-S PTE LTD Kini Pada Peringkat Perancangan

KUALA LUMPUR: Pembangunan empat bidang tanah di Marina South dan dua bidang tanah di Ophir-Rochor, Singapura, milik M-S Pte Ltd kini di peringkat perancangan iaitu perangkaan Pelan Induk.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia akan menikmati keuntungan dan faedah sungguhpun tanah-tanah itu diserahkan kepada Singapura hasil persetujuan bersama dalam perjanjian bertulis antara kerajaan Malaysia dan Singapura pada pada 27 Jun lepas.

M-S Pte Ltd, satu usaha sama antara Khazanah Nasional Bhd dan badan pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings. "Malaysia akan mendapat manfaat menerusi 60 peratus pegangannya dalam M-S Pte Ltd dengan membangunkan bidang tanah bernilai tinggi di Marina South, iaitu sebuah daerah kewangan dan perniagaan baru di Singapura.

"Selain Marina South, Malaysia turut mendapat keuntungan dalam pembangunan tanah di Ophir-Rochor, sebuah kawasan pertumbuhan baru yang merangkumi kluster-kluster pelbagai guna," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Najib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Hee Loy Sian (DAP-Petaling Jaya Selatan) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan mengenai status pembangunan tanah di Marina South dan Ophir-Rochor di Singapura oleh M-S Pte Ltd.

Hee juga ingin tahu mengenai faedah 'sama-sama menang' yang menguntungkan Malaysia selepas penyerahan tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Tanjong Pagar di Singapura dan digantikan dengan empat kawasan tanah di Marina South dan dua kawasan tanah di Ophir-Rochor.

Perdana Menteri berkata nilai pembangunan kasar bagi pembangunan yang akan dilaksanakan oleh M-S Pte Ltd dianggarkan berjumlah kira-kira RM27 bilion.

Selain itu, Malaysia juga menerima komitmen kukuh untuk pembangunan rangkaian pengangkutan, Rapid Transit System (RTS) antara Iskandar Malaysia dan Singapura, katanya. "RTS akan meningkatkan nilai hartanah di Iskandar Malaysia dan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong asing ke Malaysia dan bagi sektor perniagaan pula RTS menyediakan insentif tambahan kepada syarikat-syarikat asing untuk beroperasi di Iskandar Malaysia sekaligus menjadikan Iskandar Malaysia sebuah pusat perniagaan," kata beliau.

Najib berkata persetujuan Singapura untuk melabur bersama dalam pembangunan projek pembangunan perbandaran kesihatan ikonik yang melibatkan tanah seluas sehingga 200 hektar di Iskandar Malaysia dapat meningkatkan pelaburan di kawasan berkenaan.

Selain itu, kerjasama antara Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Temasek Holdings Private Ltd (Temasek) dan penubuhan Pulau Indah Ventures Sdn Bhd (Pulau Indah) yang mempunyai pegangan setara akan meningkatkan kerjasama dan penglibatan kedua-dua negara, kata beliau.

Khazanah dan Temasek akan membangunkan tanah tersebut dengan pembangunan pejabat, kediaman, hotel dan komponen runcit manakala Pulau Indah akan membangunkan apartmen perkhidmatan, pusat latihan korporat dan komersial, runcit dan kediaman, kata Perdana Menteri.

Kerjasama itu juga akan membantu meningkatkan sentimen perniagaan syarikat-syarikat Singapura serta keyakinan para pelabur terhadap Iskandar Malaysia, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wisma MCA Disimbah Cat Merah

Artikel Berikut

Artikel Lain