suria

Pembangkang Tuntut SPR Segera Laksana Reformasi Pilihan Raya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar melaksanakan segera beberapa tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) termasuk pembersihan daftar pemilih sedia ada.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, gesaan berkenaan akan dibuat esok (Rabu) apabila suruhanjaya itu tampil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.

Menurut anggota jawatankuasa itu, terdapat beberapa tuntutan yang dikemukakan Bersih boleh dilaksanakan SPR tanpa melalui apa-apa proses perundangan ataupun pindaan undang-undang.

"Esok kita akan panggil SPR sebagai saksi utama kerana banyak kelemahan yang berlaku dapat dilaksanakan dengan komitmen badan itu sendiri. Tak perlu tunggu jawatankuasa ini selesaikan laporan terlebih dahulu baru mereka nak bertindak.

"Adakah kita perlu tunggu pendengaran awam baru SPR nak bersihkan daftar pemilih? Sekiranya SPR itu serius untuk melakukan reformasi pilihan raya, banyak pembaharuan dapat dilaksanakan tanpa memerlukan pindaan Perlembagaan serta tidak memerlukan cadangan daripada jawatankusa khas. Perkara ini akan kita tegaskan esok," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Selain itu Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pembangkang akan mengemukakan beberapa tuntutan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang akan bermesyuarat kali kedua pada tengah hari Selasa agar lebih tegas dalam membuat keputusan.

Katanya lagi, pembangkang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengemukakan cadangan kepada kerajaan agar tidak diadakan pilihan raya sehingga jawatankuasa itu selesai menjalankan kajian yang bertujuan menambah baik sistem pilihan raya sedia ada.

"Kita tidak mahu sementara jawatankuasa ini menjalankan siasatan dan pendengaran awam, kerajaan mengambil keputusan untuk membubarkan Parlimen.

"Kita juga tidak mahu jawatankuasa ini menjadi helah untuk melengah-lengahkan proses pembersihan daftar pemilih dalam negara ini," katanya.

Tambah Mohamed Azmin, pembangkang akan membawa semua lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum Bersih agar diberi perhatian dan dibincangkan secara terpeinci.

"Kita juga mahu jawatankuasa ini memberi ruang yang seluas mungkin kepada Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga untuk mengemukakan hujah-hujah bagi menyokong lapan tuntutan yang dibuat," katanya.

Artikel Lain