suria

Koh Perjelas Statistik Bekalan Air Di Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Selasa menjelaskan tidak wujud percanggahan di antara kenyataan beliau dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berhubung angka pencapaian bilangan isi rumah yang disambung bekalan air di Sabah dan Sarawak.

Koh berkata, dalam jawapan bertulisnya kepada Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang tiga minggu lalu, pencapaian isi rumah yang menerima bekalan air bersih di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di kedua-dua negeri itu hanya ditetapkan sehingga 30 September lalu.

"Tiada pencanggahan tapi saya ingin memberi gambaran lebih tepat. Angka itu berasal dari sumber yang sama iaitu Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan diselaraskan PEMANDU.

"Bagi Sabah, sebanyak 3,463 rumah di luar bandar telah menerima bekalan air bersih (sasaran sebanyak 18,063 isi rumah menjelang 31 Disember ini) manakala 8,823 rumah di Sarawak (sasaran sebanyak 13,024 isi rumah)," katanya bagi mengulas soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mempertikaikan perbezaan angka yang dijelaskan oleh Koh dan Hasan.

Beliau berkata, angka yang diperincikan oleh Hasan pada Selasa melibatkan pencapaian bekalan air ke seluruh negara iaitu sebanyak 21,105 rumah sehingga 30 September lalu.

"Maka pencapaian bagi September melebihi sasaran sebanyak 30 peratus kerana mengambil kira jumlah isi rumah di seluruh negara setakat 30 September lalu," katanya.

Artikel Lain