suria

IJF Latih Teknik Liputan Berita Tahap Tinggi

KUALA LUMPUR: International Journalism Fellowship (IJF), bukan sahaja melatih wartawan muda bagi mendapatkan pengetahuan kewartawanan yang baru tetapi juga membantu mereka mengembangkan kemahiran kritikal dalam penyelidikan dan analisis maklumat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Chamil Wariya berkata ini boleh membantu mereka mendapat pandangan mendalam dan memahami tahap teknik liputan berita yang tinggi.

Program yang telah empat tahun dilancarkan itu, juga memberi penekanan mengenai liputan berita mengenai agama dan konflik, memahami cara baru membuat liputan selain media baru dan kewartawanan fotografi, katanya pada perasmian IJF MPI keempat di sini, Selasa.

Ia dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail.

Seramai 19 wartawan termasuk dari Namibia, Filipina, Indonesia, Brunei Darussalam dan Malaysia menyertai program itu yang akan berakhir 25 November ini.

Mereka akan dibawa melawat Terengganu dan Taman Hutan Hujan Belum di Perak semasa program latihan empat minggu itu.

Chamil berkata sejak program itu dilancarkan pada 2008, 89 wartawan muda dari 18 negara membangun telah dilatih. - BERNAMA

Artikel Lain