suria

Curi Baju Dalam: Pembantu Makmal Dipenjara Sehari

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu makmal pada Khamis dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri sehelai seluar jeans dan dua helai baju dalam wanita di sebuah kompleks membeli belah di ibu negara, pada Rabu.

Majistret Zaki Asyraf Zubir memerintahkan hukuman itu berjalan daripada tarikh tangkapan iaitu semalam.

Noraida Bahari, 36, ibu kepada dua orang anak masing-masing berusia 12 tahun dan 17 tahun didakwa mencuri seluar jenama Seed dan baju dalam jenama Audrey bernilai RM72.76, di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini pada pukul 4.10 petang, 26 Oktober 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Terdahulu peguam dari Biro Bantuan Guaman, Muhammad Khairul Hafizi yang mewakili Noraida memohon supaya hukuman diringankan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 sebulan dan perlu membantu suami menyara keluarga termasuk kedua ibu bapanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias. -BERNAMA

Artikel Lain