suria

TH Mula Temu Duga Beberapa Warga Emas Di Mekah

MEKAH: Tabung Haji (TH) sudah memulakan sesi temu duga sejak semalam bagi mengenal pasti warga emas yang akan dibantunya secara one-to-one, bermula dari hari wukuf pada 9 Zulhijjah di Arafah sehingga tamat ibadah haji.

Pengurus-pengurus maktab akan mencadangkan jemaah dari kalangan warga emas untuk menghadiri temu duga ini, di mana mereka akan diperiksa oleh tiga anggota panel yang akan menilai mereka dari segi mental dan fizikal.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata 50 jemaah dari kalangan warga emas ini akan dipilih untuk menerima perkhidmatan tersebut, yang diberikan secara percuma.

Menurutnya ahli panel terdiri daripada kalangan ustaz, pembimbing, kaunselor dan doktor yang akan bertanya pelbagai soalan yang meliputi semua aspek bagi melihat tahap keupayaan mereka.

"Kriteria yang diberi perhatian ialah jemaah mesti warga emas, tidak diiringi sesiapa semasa di sini, dan menghadapi masalah dari segi kesihatan, tahap ingatan dan sebagainya," katanya kepada kumpulan wartawan TH ketika ditemui semasa melawat penginapan jemaah di Hotel Luluat Al-Tawheed di sini.

Sementara itu seorang jemaah yang ditemui semasa menghadiri sesi temu duga di ibu pejabat TH di Hotel Janadiriah di sini, Abdul Wahid Mohd Daya, 72, berkata beliau benar-benar memerlukan bantuan seseorang untuk menyempurnakan ibadah hajinya.

Katanya beliau diberitahu mengenai perkhidmatan percuma yang ditawarkan itu oleh para petugas haji di sini beberapa hari lepas, dan beliau merasakan inisiatif TH itu amat baik sekali untuk memberi kesempatan kepada orang-orang yang uzur sepertinya menunaikan haji dengan lebih yakin dan sempurna.

Difahamkan beliau yang berasal dari Shah Alam dilaporkan hilang pada hari pertama beliau sampai di Madinah pada 9 Oktober lepas, sebelum ditemui oleh petugas TH di hospital tempatan tidak lama kemudian.

Salleh Latif, 76, dari Tawau pula berkata beliau datang ke sini menunaikan haji berseorangan kerana isterinya terlantar sakit, dan kini beliau amat memerlukan bantuan TH untuk menyempurnakan ibadahnya.

Beliau berkata layanan yang diterima oleh petugas TH sejak hari pertama menjejakkan kaki di tanah suci sehingga kini amat baik sekali, dan beliau amat berpuas hati dan berterima kasih dengan perkhidmatan mereka.

Katanya banyak program ibadah sunat dan ziarah tidak dapat disertainya kerana dinasihati oleh doktor supaya banyak berehat, dan beliau juga sering dimasukkan ke wad dari semasa ke semasa. - BERNAMA

Artikel Lain