Jurujual Hilang Ditemui Mati Dalam But Kereta - Semasa | mStar

Jurujual Hilang Ditemui Mati Dalam But Kereta

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual lelaki yang hilang sejak dua hari lepas, ditemui mati dan mayatnya yang dibaluti kain selimut ditemui dalam but sebuah kereta di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata mayat lelaki berumur 49 tahun itu ditemui pada pukul 5 petang dalam kereta Toyota Unser yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran bulatan Seksyen 4.

Mangsa yang tinggal di Ipoh, Perak itu dilaporkan hilang oleh isterinya di Balai Polis Jelapang Perak hari ini setelah tidak pulang sejak dua hari lepas, katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terbaring dan dibaluti selimut dengan kesan cedera di bahagian belakang badan dan peha, dipercayai akibat ditetak.

Berdasarkan keadaan mayat, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati dalam tempoh kurang 48 jam, katanya.

"Kami percaya mangsa yang berpakaian t-shirt dan berseluar pendek itu dibunuh di tempat lain sebelum di tinggalkan di kawasan semak itu," katanya.

Abdul Rashid berkata siasatan awal mendapati kereta itu bukan milik mangsa.

Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat, dan keluarga lelaki itu telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kedah Buat Persediaan Hadapi Banjir

Artikel Berkaitan

Artikel Lain