suria

Rakyat Kedah Sambut Baik Pelantikan Sultan Kedah Sebagai Yang di-Pertuan Agong Kali Kedua

ALOR SETAR: Rakyat Kedah menyambut baik pelantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua dan menganggap ia sebagai peristiwa penting dalam sejarah negeri tersebut.

Walaupun tiada sambutan besar-besaran diadakan, rakyat Kedah amat berbesar hati dengan pelantikan tersebut terutama di kalangan mereka yang menyaksikan pelantikan pertama beliau sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 1970.

Presiden Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK), Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya berkata, pelantikan Sultan sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua adalah yang pertama kali dalam sejarah.

Menurut beliau, rakyat Kedah pastinya amat gembira kerana peristiwa penting itu sudah ditunggu sekian lama.

"Kami mendoakan agar Sultan dikurniakan kesihatan yang baik dan dapat meneruskan tugasnya sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 13 Disember ini," katanya ketika dihubungi The Star, hari ini.

Bagi pesara kerajaan, Abdul Majid Saidin, 82, beliau berpeluang menyaksikan pelantikan Sultan Kedah sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua.

"Saya berusia 42 tahun apabila baginda dilantik buat pertama kalinya dan saya masih ingat sambutan turut diadakan untuk meraikan pelantikan baginda," katanya.

Abdul Majid berkata, dia berharap dapat menyaksikan majlis pertabalan menerusi siaran langsung di televisyen.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Rasli Basir berkata, kerajaan tersebut akan mengadakan pelbagai program untuk meraikan pelantikan Sultan Kedah bermula hari ini sehingga 13 Disember depan.

"Pelantikan itu merupakan peristiwa penting bagi kerajaan negeri kerana ketika kali pertama Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong, arwah Tun Abdul Razak adalah Perdana Menteri tapi kali ini, anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak memimpin negara," katanya

Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini Jumaat.

Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Artikel Lain