suria

Teliti Semula Program Majlis Agama Perak - Titah Raja Nazrin

IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah mahu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maip) dan Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) meneliti semula corak dan bentuk program yang dilaksanakan dalam usaha membangunkan ekonomi ummah secara lestari.

Baginda bertitah langkah itu perlu diambil bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan memberikan hasil dan impak yang disasarkan.

Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Perak, zakat, Baitulmal dan pengurusan dana juga perlu memberi perhatian kepada perbelanjaan kerana pengauditan dilakukan bukan sekadar melihat perimbangan angka di baucar dan resit tetapi turut menilai keberhasilan program, titah baginda.

Untuk tujuan itu, MAIP dan JAIP perlu meletakkan Petunjuk Prestasi Utama yang lebih dinamik dan merombak budaya pengurusan sedia ada, titah Raja Dr Nazrin pada Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak ke-177 di sini, Isnin.

"Setiap tahun beta berangkat ke majlis-majlis yang dianjurkan MAIP dan JAIP, antaranya termasuk acara perayaan Maudilur Rasul dan Maal Hijrah. Banyak masa dan perbelanjaan yang digunakan. Setiap tahun program yang sama dan serupa berulang tanpa suntikan idea yang lebih inovatif yang boleh mencetuskan program yang dinamik. "Program berbentuk ritual sedemikian hanya sekadar memenuhi takwim tahunan dan tidak mempunyai roh yang dapat menyentuh hati dan perasaan hadirin dan tentu tidak kesampaian untuk memenuhi matlamat serta kehadiran peserta hanya bersifat memenuhi jemputan," titah baginda.

Sehubungan itu, Raja Dr Nazrin mahu kedua-dua organisasi melaksanakan pendekatan baru dengan memberi imej dan kandungan baru kepada program yang bakal dianjurkan dalam tahun 2012.

"Kandungan dan tempat program yang bakal dianjurkan, hendaklah dirancang lebih awal dan teliti dan setelah diputuskan di peringkat jawatankuasa, hendaklah terlebih dahulu dipersembahkan untuk mendapat ulasan, pandangan dan perkenan beta terutama dari segi implikasi kewangan," titah baginda.

Tegas baginda, jika tidak dilakukan penambahbaikan acara, maka program yang dijalankan tidak mungkin mencapai objektif, bermakna setiap perbelanjaan wang negeri untuk membiayainya bolehlah dianggap perbelanjaan yang tidak memberikan pulangan malah membazirkan sumber.

Persidangan hari ini turut merakamkan sembah takziah kepada Raja Kecil Besar Perak Raja Iskandar Dzulkarnain di atas kemangkatan bonda baginda Raja Perempuan Muzwin pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, Raja Dr Nazrin menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Kewangan Negeri Datuk Ghazali Jalal sebagai anggota MAIP bagi menggantikan Datuk Jamaluddin Al-Amini yang bersara wajib. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain