suria

Belanjawan 2012 Seimbang:Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd menyifatkan Belanjawan 2012 sebagai belanjawan yang amat seimbang, yang perlu mengambil kira beraneka permintaan daripada pelbagai pihak dan keseimbangan keputusan yang perlu diambil dalam konteks kekangan belanjawan berhemah.

Ia adalah belanjawan yang cekap, yang memenuhi keperluan segera dalam persekitaran yang tidak menentu, kata Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Eksekutif Khazanah Research & Investment Strategy (KRIS).

Dr Nungsari berkata persekitaran luaran yang semakin buruk amat mencabar bagi ekonomi kecil dan terbuka seperti Malaysia yang kini terpaksa bergantung kepada sumber pertumbuhan domestik.

Belanjawan kali ini memperkenal banyak langkah berhubung isu-isu kos sara hidup dan pembangunan modal insan di samping pada masa yang sama disasarkan untuk meningkatkan penggunaan swasta.

Disiplin fiskal dikekalkan dengan mengurangkan defisit selanjutnya kepada paras di bawah lima peratus KDNK yang membayangkan belanjawan itu juga mmempunyai rizab tersedia sekiranya persekitaran ekonomi global merosot selanjutnya," tegas beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd, Tan Sri Datuk Lodin Wok Kamaruddin, berkata belanjawan negara kali ini amat menarik, khususnya bagi rakyat.

"Bagi Boustead Group, belanjawan ini akan memberi kesan khusus dari dua aspek yang luas, iaitu pembangunan harta dan hospitaliti.

"Memandangkan hakikat bahawa harga harta tempatan mengalami peningkatan tinggi disebabkan oleh spekulasi, kami percaya langkah-langkah yang diperkenal oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2012 akan membendung keadaan ini dan menstabilkan pasaran," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain