suria

Kes Baru HIV Di Malaysia Menurun

GEORGE TOWN: Kerajaan yakin negara akan mencapai sasaran penurunan kes baru HIV kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk sebelum tahun 2015, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman.

Beliau berkata mulai 2003, jangkitan baru HIV mula menunjukkan penurunan secara konsisten sehingga mencapai 12.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2010.

"Saya amat yakin bahawa negara akan dapat mencapai sasaran itu sebelum 2015 dan ia mungkin jadi kenyataan lebih awal dari itu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Aids Kebangsaan Kedua di sini, Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Teh Lei Choo. Dr Hasan berkata kes tertinggi dilaporkan pada 2002 iaitu sebanyak 28.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Dr Hasan berkata bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,570 kes baru HIV dilaporkan dan dianggarkan menjelang akhir tahun ini, sebanyak 3,140 kes baru HIV akan dikesan.

"Ini akan menjadikan anggaran kes pada tahun ini 11 kes bagi (setiap) 100,000 penduduk," katanya.

Beliau berkata di Malaysia, sehingga 2010, seramai 91,362 orang telah dilaporkan dijangkiti HIV dan dari jumlah tersebut seramai 16,532 telah mengalami fasa Aids dan seramai 14,298 orang telah meninggal dunia.

"Ini menjadikan mereka yang masih hidup dengan HIV pada akhir 2010 seramai 77,064 orang," katanya.

Bagi mencapai matlamat mengurangkan jangkitan HIV di kalangan rakyat negara ini, Dr Hasan berkata orang ramai terutamanya kumpulan berisiko tinggi digalak melakukan ujian pengesanan dan saringan.

Katanya, pengesanan awal memberi impak positif dengan memastikan rawatan awal diberi kepada pesakit, langkah pencegahan kepada pasangan dan memastikan amalan berisiko dihindari melalu langkah pencegahan yang berkesan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain