suria

Lupus Mayat: Lelaki Bangladesh Dipenjara 80 Bulan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 80 bulan oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, Khamis atas dua pertuduhan melupuskan mayat seorang wanita warga Indonesia dan anak lelakinya di sebuah kondominium di Taman Kosas, Ampang.

Majistret Wan Karimah Wan Ab. Ghani memerintahkan hukuman penjara 40 bulan bagi setiap pertuduhan berjalan secara berasingan terhadap Mosharof Hossain bermula tarikh dia ditangkap pada 15 Ogos lalu.

Mosharof, 23, didakwa melupuskan mayat Siti Sando, 35, dan anaknya, Mohd Shukri berusia dua tahun, untuk melindungi pesalah daripada tindakan undang-undang yang didakwa dilakukan di No 40 Tingkat 5, Blok Chrsyaa Astaria Apartment, Taman Kosas, Ampang di sini antara 11.20 pagi, 29 Julai lalu dan 11 pagi, 3 Ogos lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Mosharof yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman yang ringan dikenakan ke atas dirinya atas alasan dia membantu menyara keluarganya yang miskin di kampung halamannya dan turut memberitahu hasratnya untuk pulang ke Bangladesh secepat mungkin.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh.

Mosharof yang didakwa di mahkamah pada 26 Ogos lalu atas pertuduhan melupuskan mayat kedua-dua anak beranak itu pada mulanya mengaku salah, tetapi akhirnya mengaku tidak memahami pertuduhan tersebut.

Pada tarikh yang sama (26 Ogos), Abd Razak Tofazzalhossain, 29, dan Mmd Ripin Mondal Krndaboss, 28, didakwa atas kesalahan membunuh kedua-dua mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Abd Razak yang didakwa membunuh Siti Sando antara 11 pagi dan 5 petang, 29 Julai lalu di tempat yang sama turut menghadapi tuduhan kedua, iaitu membunuh Mohd Shukri yang didakwa dilakukannya bersama-sama dengan Mmd Ripin pada tempat dan masa yang sama.

Akhbar pada 4 Ogos lalu melaporkan penemuan menggemparkan mayat seorang wanita yang telah dikerat 15 dengan sebelah kaki dan beberapa bahagian organ dalaman dibuang ke dalam mangkuk tandas di sebuah rumah di Taman Kosas di sini.

Manakala mayat anak lelakinya turut ditemui dalam plastik di rumah yang sama dengan kedua-duanya berbau busuk dan reput dipercayai telah dibunuh seminggu sebelumnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain