suria

Bunuh Haresvarra: Kelindan Lori Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang kelindan lori selepas mendapati dia bersalah atas tuduhan membunuh seorang bayi berusia 18 bulan, K. Haresvarra, tahun lalu.

Tertuduh, M. Rajamorgan, 34, yang kelihatan tenang semasa menerima keputusan Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan perasaan terkejut apabila 'diserang' oleh bapa mangsa, S. Karigalan yang secara tiba-tiba menyerbu ke arahnya semasa dia dibawa keluar daripada mahkamah.

"Tuhan akan menghukum kamu!," jerit Karigalan sambil menundingkan jari ke arah Rajamorgan yang semasa itu berada dalam keadaan bergari dan dikawal oleh tiga anggota polis mahkamah.

Meskipun berasa gembira dengan keputusan mahkamah, Karigalan mengakui bahawa dia masih bersedih kerana keputusan tersebut tidak dapat mengembalikan anak yang diharapkan akan menjadi seorang tokoh korporat apabila dewasa kelak.

"Nyawa anak saya tidak dapat dikembalikan. Mahkamah menjatuhkan hukuman gantung terhadap dia (Rajamorgan) tetapi saya masih berada di pihak yang kalah," tambahnya.

Isteri Karigalan, K. Thilagavathy, 24, juga tidak dapat menahan perasaan sedih apabila menceritakan keperitan mereka selepas dituduh membunuh anak sendiri di saat mereka sedang meratapi kehilangan Haresvarra.

Terdahulu, Abdul Alim menjatuhkan hukuman tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan yang munasabah terhadap Rajamorgan.

Pada penghakimannya, Abdul Alim berkata, beliau telah meneliti semua keterangan yang diberikan oleh 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan serta hujahan-hujahan yang dikemukakan oleh pihak-pihak yang terlibat.

Rajamorgan yang merupakan suami kepada pengasuh mangsa, didakwa membunuh Haresvarra pada antara pukul 9 dan 10.10 malam, 3 Mac 2010 di Taman Permainan Kanak-Kanak Pangsapuri Vista Damansara, Jalan Kenanga, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, dekat sini.

Pendakwaan terhadap tertuduh yang diwakili oleh peguam Aida Mansor dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan doktor patologi, Dr Karunakaran Mathiharan, mangsa didapati mati akibat kecederaan pada hatinya yang boleh disebabkan oleh pukulan objek tumpul selain mendapati terdapat kesan-kesan kecederaan yang masih baru di badannya.

Beliau yang menolak kecederaan itu boleh terjadi kerana kemalangan juga berkata, kecederaan tersebut boleh berlaku sekiranya bahagian belakang mangsa dipukul dengan menggunakan tangan kanan si pelaku dalam keadaan bayi malang terbabit dipegang dengan tangan kiri.

Namun demikan, tertuduh pada keterangan bersumpahnya berkata, mangsa secara tiba-tiba menjadi lemah selepas diberi makan coklat dan dia mengambil masa sebelum membawa mangsa ke klinik kerana mendakwa dirinya panik semasa kejadian berlaku.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain