suria

Tenaga Belia Diguna Bantu Mangsa Bencana

KANGAR: Sebanyak sejuta sukarelawan belia bakal dilahirkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelang Oktober tahun depan bagi menyalurkan sumbangan tenaga dan idea ketika bencana atau menangani isu sosial semasa.

Ketua Pengarah Belia dan Sukan, Borhan Dollah berkata bagi mencapai sasaran itu, gerakan mendaftar sukarelawan di kalangan para belia dan remaja akan berlangsung secara besar-besaran di seluruh negara selama setahun selepas pelancaran program "I-Volunteers" (Saya-Sukarelawan) yang dijadualkan bulan depan.

Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini, beliau berkata para sukarelawan itu akan menyertai kumpulan I-Volunteers yang dijadualkan akan dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Menurutnya, program sukarelawan itu akan memberi fokus utama terhadap tugas-tugas semasa bencana dan keperluan lain di dalam negara di samping bersedia menghulurkan sumbangan tenaga bagi menyertai misi kemanusiaan di luar negara.

Pada masa ini, terdapat sebanyak 200,000 sukarelawan muda di seluruh negara termasuk 250 orang di Perlis dan mereka berumur antara 15 dan 25 tahun yang banyak menyumbang tenaga terutama semasa bencana banjir dan ribut.

Borhan berkata program I-Volunteers akan menggabungkan sukarelawan muda dan sukarelawan belia yang berumur sehingga 40 tahun dan mereka akan bersedia pada sebarang masa untuk menghulurkan tenaga kesukarelaan mereka. "Ada yang menganggap, golongan muda enggan menyertai kegiatan sukarela tetapi sebenarnya mereka tidak tahu bagaimana tenaga mereka harus disalurkan," katanya yang berada di Perlis sejak semalam bagi menyertai program bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Repoh di sini.

Beliau berkata selain tumpuan kepada kegiatan di dalam negara, sukarelawan juga akan diberi pendedahan membantu tugasan bencana di luar negara melalui beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami akan jadikan beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang terpilih sebagai rakan kongsi bagi kerja-kerja sukarela," katanya.

Semalam, Borhan bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sena, Abdul Jamil Saad menyampaikan sumbangan Misi Bantuan Pasca Bencana KBS kepada 350 manga banjir di Kampung Repoh. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain