suria

Peniaga dan Pemandu Didakwa Tipu RM200 Ribu

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dan pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin, atas tuduhan menipu seorang kontraktor membabitkan jumlah RM200,000, Januari lepas.

Chock Kin Chong, 41, dan Lim Heng Ong, 51, didakwa menipu Lim Song Ban, 45, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa mereka boleh menawarkan penjualan projek korek pasir di kawasan Ampatin, Sentul.

Perbuatan kedua-dua tertuduh telah mendorong Lim untuk menyerahkan empat keping cek Bank Hong Leong, masing-masing bernilai RM50,000, bertarikh 7 Jan 2011.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Sesyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Sesyen 34 di bawah akta yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim S. Komathy membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh itu dan menetapkan 30 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal, manakala Chock diwakili peguam Datuk Rabinder Singh dan Lim oleh Datuk Mohd Fadzli Maamor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain