suria

Liwat II: Sampel DNA Tidak Semestinya Dari Air Mani

KUALA LUMPUR: Pakar asid deoksiribonukleik (DNA) Australia, Dr Brian Leslie McDonald pada Isnin memberitahu bahawa sampel DNA yang ditandakan sebagai 'Male Y' dalam analisis kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak semestinya berasal daripada air mani.

Bagaimanapun, McDonal yang dipanggil sebagai saksi pembelaan keempat kepada Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh juga tidak dapat memastikan jika sampel tersebut datang dari sel bukan air mani.

"Saya tidak dapat tahu kerana tiada keterangan yang dapat menyatakan sampel tersebut diperoleh daripada sel tubuh yang mana," katanya di Mahkamah Tinggi di sini.

Perbicaraan sebelum ini menyatakan bahawa sampel 'Male Y' adalah milik Anwar.

Menjawab soalan peguam Ram Karpal Singh yang mewakili Anwar, beliau juga memberitahu bahawa sel DNA yang diperoleh daripada seseorang individu adalah sama, tidak kira sama ada ia diperoleh daripada air liur mahupun darah.

Beliau juga menambah, sampel tersebut juga berkemungkinan boleh datang daripada botol air mineral atau tuala yang diperoleh daripada lokap Anwar ditahan sebelum ini.

Oleh itu, McDonald memberitahu, adalah penting agar satu ujian terperinci dilakukan iaitu dengan mengambil sampel tersebut dan diletakkan ke dalam sisip kaca untuk dilihat di bawah mikroskop bagi memastikan ia adalah air mani.

Pada keterangan lain, McDonald juga mendakwa laporan kimia yang dilakukan oleh ahli kimia, Nor Aidora Saedon telah tersilap dalam laporannya apabila mengatakan hanya satu profil DNA ditemui pada analisis yang dilakukan terhadap tuala tersebut.

McDonald menambah, analisis yang dilakukan oleh Nor Aidora dan seorang lagi ahli kimia, Dr Seah Lay Hong juga bercanggah dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Kimia kerana didakwa gagal untuk melaporkan bahawa terdapat percampuran profil DNA dalam analisis yang dilakukan.

Beliau juga sekali lagi menegaskan bahawa, laporan yang disediakan tidak menunjukkan bahawa sampel DNA telah 'merosot' adalah tidak konsisten dengan sejarah sampel berkenaan.

Keterangan beliau sebelum ini menyatakan akan berlaku kemerosotan kepada sampel yang tidak dibekukan dengan serta-merta (suhu yang sesuai adalah negatif 20 darjah selsius).

Berdasarkan keterangan sebelum ini, sampel DNA itu diperoleh dua hari selepas kejadian liwat didakwa berlaku dan disimpan selama dua hari di dalam suhu bilik sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Anwar, 64, sedang membela diri atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Jika disabitkan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan disebat.

Beliau didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 7 Ogos 2008 sebelum perbicaraan bermula pada 3 Februari 2010 manakala pada 16 Mei lalu, Anwar dipanggil untuk membela diri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah akan bersambung pada Selasa dan pihak pendakwaan dijangkakan akan menyoal balas McDonald berhubung keterangannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain