suria

Terima Rasuah: Seorang Lelaki Mengaku Tidak Bersalah

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 38 tahun yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini Rabu, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan menerima rasuah bernilai RM500 tahun lalu.

Rizal Roplis dari kampung Pulau Pisang, Jitra yang hanya melakukan kerja kampung dituduh menerima rasuah daripada Ahmad Farid Idrus sebagai dorongan kepadanya untuk membantu mendapatkan kembali kereta Ahmad Farid yang disewakan kepada pihak ketiga.

Rizal dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di sebuah restoran di Jitra pada 12 Feb tahun lepas, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwaraya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan RM10,000 kepada tertuduh sebelum hakim Mohd Rosli Osman menetapkan dia dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin. Rizal, yang tidak diwakili peguam ketika merayu agar jaminannya dikurangkan, berkata dia terpaksa menanggung seorang isteri yang tidak bekerja serta lima orang anak selain turut menyara ibu bapanya yang sudah tua dan uzur.

Mohd Rosli menetapkan 10 Oktober depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain