suria

Sembilan Maut Pada Hari Terakhir Ops Sikap Ke-24

KUALA LUMPUR: Hari terakhir Ops Sikap ke-24 pada Selasa menyaksikan sembilan lagi maut menjadikan angka korban jalan raya meningkat kepada 289 orang sejak operasi dilancarkan pada 23 Ogos lepas.

Laporan menerusi laman web Polis Diraja Malaysia hari ini menyatakan empat kematian membabitkan pengguna motosikal, dua pengguna kereta, satu lori, satu pengguna basikal dan satu lagi lain-lain kenderaan.

Laporan juga menyatakan tiga kemalangan maut berlaku di jalan negeri, dua masing-masing di lebuh raya dan jalan persekutuan serta masing-masing satu di jalan bandaran dan di lain-lain jalan.

Sebanyak 1,186 kemalangan dilaporkan dengan jalan bandaran mencatatkan kes tertinggi sebanyak 503 kes, diikuti jalan persekutuan (275 kes), jalan negeri (212 kes), lebuh raya (115 kes) dan lain-lain jalan (81 kes).

Sebanyak 9,253 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik pada hari terakhir operasi yang diadakan sempena sambutan Aidilfitri itu. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain