suria

Sukarelawan Dan Media Malaysia Perlu Diberi Latihan - Shafie

SEMPORNA: Naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata sudah tiba masanya sukarelawan dan media dari Malaysia diberi latihan tertentu sebelum melaksanakan tugas untuk misi kemanusiaan luar negara.

Beliau berkata selain diberi baju kalis peluru, sukarelawan berkenaan perlu diberi latihan berkenaan sebagai persediaan menghadapi saat-saat genting.

"Setiap sukarelawan yang akan keluar negara selain diberikan perlindungan baju kalis peluru, mereka juga harus diberi latihan terlebih dahulu untuk menghadapi saat-saat genting," katanya ketika ditemui pada satu majlis perkahwinan di sini, Ahad.

Beliau mengulas insiden jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban akibat terkena peluru sesat pada Jumaat ketika mengikuti misi kemanusiaan di Somalia.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu yang mengenali Allahyarham sebagai seorang petugas yang berdedikasi turut menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul.

Katanya Allahyarham pergi sebagai rakyat Malaysia yang sanggup mengorbankan nyawa justeru setiap rakyat Malaysia menghargai pengorbanannya. - BERNAMA

Artikel Lain