suria

Rakyat Diajak Perteguh Azam Dan Tekad Jayakan Transformasi Negara - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak semua rakyat memperteguhkan azam dan membulatkan tekad untuk bersama-sama berganding bahu menjayakan agenda transformasi negara demi kesejahteraan semua.

Beliau berkata perpaduan yang kental di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama adalah kunci kepada kejayaan untuk melaksanakan agenda transformasi negara.

"Hari ini, negara kita sedang melalui satu proses transformasi yang penting di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang mengatur langkah untuk menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-54 di sini, Isnin.

Justeru itu, katanya, rakyat harus bersama-sama memberikan sokongan padu kepada agenda transformasi negara yang sedang dijayakan itu kerana ianya adalah faktor penentu kepada kesejahteraan di masa hadapan.

Selain itu, Muhyiddin berkata semua rakyat harus memperkukuhkan perpaduan sesama warga dengan menghayati nilai-nilai murni yang terkandung di dalam Gagasan 1Malaysia.

"Kita kibarkan Jalur Gemilang di rumah, kenderaan dan pejabat sebagai tanda kebanggaan dan kesetiaan kita kepada pertiwi yang tercinta. Kita memperingati jasa yang dicurahkan oleh para pemimpin kita yang terdahulu sebagai tanda penghargaan yang tidak terhingga kepada sumbangan mereka," katanya.

Kita mensyukuri segala nikmat kemakmuran dan kesejahteraan yang kita kecapi selama ini sebagai tanda kebahagiaan hidup kita dalam sebuah negara yang aman, bebas dan merdeka," katanya.

Beliau turut menyifatkan tanggal 31 Ogos setiap tahun adalah hari untuk menyelami jiwa kewarganegaraan rakyat Malaysia untuk menghargai setiap detik kehidupan, setiap nafas yang dihela di dalam sebuah negara yang merdeka.

"Sesungguhnya, telah banyak kejayaan yang kita capai sebagai sebuah bangsa yang merdeka. Kita telah berjaya membangunkan negara kita daripada sebuah negara yang berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian yang moden," katanya.

Muhyiddin berkata pelbagai kejayaan dicapai sepanjang tempoh kemerdekaan, antaranya membasmi kemiskinan, menyediakan peluang pendidikan yang luas, memacu pertumbuhan ekonomi yang pesat, memupuk perpaduan yang jitu di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, menjamin kestabilan politik dan memelihara keharmonian negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azhar CEO Baru MRT Co

Artikel Lain