suria

Najib Lancar Kempen Menjiwai 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat melancarkan Kempen Menjiwai 1Malaysia anjuran Pergerakan Puteri Umno yang bertujuan menyemai kefahaman konsep berkenaan di kalangan rakyat Malaysia.

Najib yang juga Presiden Umno turut menyampaikan 10 buah komputer riba sumbangan sayap parti berkenaan kepada 10 badan bukan kerajaan (NGO) di bawah parti-parti komponen Barisan Nasional pada majlis yang berlangsung di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn di sini.

Terdahulu, beliau juga menampal pelekat 1Malaysia yang menyokong konsep gagasan itu pada beberapa buah kenderaan termasuk teksi. Turut hadir pada majlis yang diadakan sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno itu adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Penganjuran kempen itu juga mendapat kerjasama Yayasan Jiwa Malaysia serta Persatuan Pemandu Teksi Eksekutif dan Persatuan Teksi Bajet yang merupakan Duta Mesra Rakyat yang diwujudkan sempena pelancaran kempen Duta Mesra Rakyat Membantah Demonstrasi Jalanan pada 29 Jun lepas.

Rosnah yang ditemui pemberita selepas itu berkata pelancaran kempen tersebut merupakan pencetus kepada siri-siri kempen yang akan datang dan antara aktiviti yang akan dijalankan ialah Seminar Menjiwai 1Malaysia pada bulan depan dan pertandingan menulis esei bagi pelajar sekolah dan universiti.

"Kita lihat ini merupakan salah satu cara kita menyumbang kepada parti dengan memberi penjelasan kepada masyarakat tentang apa sebenarnya 1Malaysia dan aspirasi kebangsaan kepada generasi muda," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain