suria

Lanjut Tempoh Daftar Pekerja Asing Bukan Bermakna Kerajaan Tunduk Kepada Majikan - Hishammuddin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah melanjutkan tempoh pendaftaran pekerja asing bukan bermakna kerajaan tunduk kepada desakan pihak majikan.

Sebaliknya, beliau berkata tindakan itu dilakukan kerana kerajaan mahu melihat keputusan terbaik hasil pelaksanaan pendaftaran tersebut.

"Bukan tempoh yang menjadi pertimbangan, sebaliknya penyelesaian kerana saya sudah kata kita buat biometrik kerana dunia globalisasi membawa ancaman yang sangat dasyat, termasuk keganasan, penyeludupan senjata... termasuk dadah.

"Bukan sama ada kita tunduk (kepada majikan) atau tidak, hendak tunjuk kuasa ke apa. Yang penting, kita hendak tengok hasilnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Sembrong di Nyior, Ahad.

Beliau juga berkata selepas ini, majikan tidak lagi boleh memberi alasan tidak mendaftarkan pekerja asing kerana tempoh telah dilanjutkan, dan mereka dinasihat berbuat demikian secepat mungkin.

Hishammuddin berkata pelaksanaan pendaftaran menggunakan sistem biometrik membolehkan kerajaan menangani pelbagai masalah, termasuk mencegah kemasukan individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Beliau memberi contoh kerajaan berjaya menangkis percubaan seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Jemaah Islamiyah baru-baru ini memasuki Malaysia menggunakan pasport palsu.

Katanya, individu terbabit, yang dikenali sebagai Agus Salim, seorang rakyat Indonesia, cuba memasuki negara ini menggunakan nama 'Halim'.

Hishammuddin berkata Agus Salim menukar identiti dan memperoleh pasport baru selepas diperakui ketua kampungnya di Indonesia.

Sementara itu, beliau meminta masjid dan surau memainkan peranan dalam membetulkan tanggapan serta tohmahan yang disebarkan pihak tertentu berhubung isu semasa. - BERNAMA

Artikel Lain