suria

Belia Perlu Saran Idea Kreatif - Khairy

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meminta belia melontar idea kreatif berkaitan program kemasyarakatan yang boleh membantu golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata idea yang baik dan memanfaatkan itu layak menerima bantuan daripada Dana Belia 1Malaysia.

Beliau berkata dana itu masih mempunyai kira-kira RM15 juta untuk diagihkan kepada persatuan belia dan individu yang menampilkan idea kreatif untuk program kemasyarakatan.

"Kita masih menunggu idea kreatif dari belia untuk membuat permohonan bagi menganjurkan aktiviti kemasyarakatan," katanya selepas merasmikan Big Belly Brothers and Fairies Food Handout di sini, malam Sabtu.

Seramai 150 orang yang kurang bernasib baik termasuk kanak-kanak menerima bantuan makanan dan alas tempat tidur pada majlis itu yang dianjur Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia.

Aktiviti setiap dua minggu itu dilaksanakan dengan mengguna dana belia 1Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain