suria

Keputusan Mahkamah Ceriakan Rais

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menghadapi 'detik-detik' gelap apabila difitnah merogol pembantu rumahnya daripada negara seberang, Indonesia.

Dakwaan tersebut bukan disiarkan di dalam dada-dada akhbar, sebaliknya dipaparkan di sebuah blog, yang boleh dilayari tanpa batasan masa melangkaui sempadan negara.

Maksudnya, sesiapa sahaja yang mempunyai talian Internet boleh membaca dakwaan yang dimuatturunkan oleh seorang blogger, Azimudin Ahmat yang juga merupakan ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas dakwaan tersebut tersebar luas, wanita yang didakwa 'mangsa rogol' terbabit membuat pendedahan bahawa dakwaan-dakwaan yang terpalit kepada bekas majikannya itu hanyalah dusta semata-mata.

Memetik laporan berita detik.com pada 7 Januari lalu, wanita berusia 46 tahun dari Jawa Tengah, Indonesia itu menyifatkan pengalamannya sepanjang bekerja dengan Rais dari tahun 1999 hingga 2007 adalah baik.

Malah, dia juga memberitahu, sering diberikan wang dan ole-ole serta pernah diberikan cuti selama satu setengah bulan.

Beberapa minggu selepas itu, iaitu pada 31 Januari lalu, Rais mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan saman sivil terhadap Azimudin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam saman itu, Rais mendakwa, artikel bertajuk 'Hei Pak Menteri... mana mau lari...' yang disiarkan bersama gambarnya mengandungi kenyataan fitnah di laman http://sharpshooterblogger.blogspot.com/ pada 28 Disember 2010.

Ahli Parlimen Jelebu, Negeri Sembilan itu juga mendakwa kenyataan tersebut bermaksud beliau telah melakukan kesalahan serius iaitu merogol dan berkemampuan untuk membunuh pembantu rumahnya.

Akhirnya, pada 19 Julai lalu, Rais mendapat pembelaan sewajarnya apabila Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof memerintahkan agar Azimudin membayar ganti rugi RM300,000 dan kos RM100,000 terhadap Rais.

Jumlah tersebut bukan diberikan sewenang-wenangnya, tetapi dibuat dengan mengambil kira kedudukan Rais yang telah menganggotai Kabinet selama 37 tahun dan dikenali bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga di persada antarabangsa.

Azimudin juga perlu bertanggungjawab atas fitnah yang dilemparkannya ekoran tiada sebarang bukti yang dapat menunjukkan berlaku unsur provokasi yang dilakukan oleh Rais sehingga Azimudin mengeluarkan fitnah itu.

Pada penghakimannya, Zabariah juga menyifatkan tuduhan merogol merupakan tuduhan paling jijik yang boleh dilakukan terhadap seseorang individu.

Selain itu, beliau juga berkata, fitnah tersebut juga tidak sihat dari sudut hubungan diplomatik dan ibarat menuang petrol ke dalam api terhadap kemarahan negara jiran berhubung isu rakyat mereka didera semasa bekerja sebagai pembantu rumah di sini.

Zabariah juga menyifatkan Azimudin tidak berasa insaf dan masih berpendapat dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan kerana mendakwa dirinya hanya memuatturunkan dakwaan tersebut daripada sebuah surat khabar milik pembangkang.

Beliau seterusnya menyifatkan lelaki itu telah cuai kerana menyiarkan dakwaan tersebut tanpa menyiasat kebenaran dakwaan tersebut.

Meskipun Azimudin mendakwa telah ke Jakarta untuk menyiasat kebenaran tersebut selama tiga hari, tetapi gagal untuk menemui 'mangsa rogol' tersebut.

Bagaimanapun, dia tidak melakukan sebarang tindakan susulan yang mungkin dapat membantu memulihkan kembali imej Rais yang telah tercemar.

Kejadian tersebut mungkin dapat mengesahkan kebenaran pepatah bahawa mata pena lebih tajam daripada pedang, cuma di zaman serba canggih ini, mata pena tersebut lebih sesuai digantikan dengan kekunci komputer.

Dengan tawaran perkhidmatan Internet, telefon pintar dan komputer yang makin murah, lebih ramai individu yang mampu untuk melayari Internet atau membuka pelbagai blog untuk dijadikan tempat melepaskan emosi atau menjatuhkan mana-mana individu yang tidak disukai.

Artikel Lain