suria

SKMM Sasar 90 Peratus Liputan Selular Di Sarawak Tahun Ini

KUCHING: Respons kecemasan di Sarawak dijangka lebih baik beikutan sasaran liputan selular 90 peratus di kawasan pedalaman dan lebuh raya pada tahun ini.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak Ahmad Nor Hisham Mohd Yusop berkata setakat ini, sebanyak 84 peratus kawasan di Sarawak mendapat liputan selular dan untuk meningkatkan lagi liputan, pembinaan menara telekomunikasi akan ditambah. "Sebanyak 200 menara pemancar telekomunikasi akan dibina di Sarawak tahun ini," katanya pada Hari Terbuka Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 di sini Jumaat.

Ahmad Nor Hisham berkata dengan ada liputan selular lebih meluas, panggilan kecemasan akan mudah dibuat di mana-mana tempat yang mempunyai liputan di negeri ini dan membolehkan pihak berkuasa terbabit yang menerima panggilan kecemasan untuk bertindak lebih pantas.

Beliau bagaimanapun berkata cabaran terbesar dihadapi sekarang ialah panggilan palsu ke talian 999 yang kini semakin membimbangkan.

Beliau memberi amaran SKMM akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang akan mengenakan hukuman tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan membuat panggilan palsu.

Terdahulu, Naib Presiden Projek Strategik Sektor Kerajaan Telekom Malaysia (TM) Datuk Zaini Diman berkata secara puratanya pusat panggilan MERS 999 di Kuching menerima 1.4 juta panggilan setiap bulan.

"Daripada jumlah tersebut, 64.8 peratus atau 42,000 panggilan adalah palsu dan hanya tiga peratus adalah panggilan kecemasan sebenar," katanya.

Beliau berkata hari terbuka yang diadakan pada hari ini adalah salah satu strategi untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan talian MERS 999 dan bahaya membuat panggilan palsu.

Talian panggilan 999 adalah untuk tujuan kecemasan bagi mendapatkan bantuan daripada bomba, polis, hospital, Jabatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. – BERNAMA

Artikel Lain