suria

Perpaduan: Malaysia Di Tangga Pertama Di Asean Dalam Indeks Keamanan Global

BESUT: Malaysia berada di tangga pertama di Asean dan kedua di Asia selepas Jepun, sebagai negara yang berjaya mengekalkan perpaduan pada kalangan rakyatnya menurut senarai Indeks Keamanan Dunia (GPI).

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Datuk Azman Azmin Hassan berkata GPI yang dikeluarkan baru-baru ini juga menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-19 dunia.

"Kejayaan negara dalam memupuk perpaduan itu telah menarik perhatian dunia yang ingin mempelajari cara bagaimana Malaysia melakukannya selama ini.

"Ia ditambah lagi dengan kecekapan kepimpinan negara mengekalkan perpaduan di kalangan rakyatnya yang berbilang kaum membolehkan Malaysia dijemput Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk membentangkan kertas kerja mengenai perpaduan di New York bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2011 peringkat Terengganu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Dr A Rahman Mokhtar, di sini Sabtu.

Katanya pengiktirafan dunia itu jelas membuktikan keamanan di Malaysia tidak perlu diragui dan perpaduan di negara ini adalah antara yang terbaik.

Beliau seterusnya menggesa rakyat agar terus memupuk perpaduan dengan mengekalkan perasaan muhibah dan bekerjasama dengan kerajaan bagi mengelakkan sebarang usaha jahat yang ingin menganggu gugat keharmonian negara ini.

Azman Azmin memberi contoh demonstrasi jalanan haram yang diuar-uar puak pengacau pada 9 Julai ini yang dikhuatiri boleh mengancam kestabilan dan keamanan negara.

"...yang paling dibimbangi ialah timbul pula konflik perkauman," katanya menambah isu itu juga boleh dieksploitasi media asing yang sentiasa mencari kesalahan kerajaan. -BERNAMA

Artikel Lain