suria

Najib Dijadual Adakan Mesyuarat Dua Hala Dengan Pemimpin Hadiri LID

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin-pemimpin yang menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID2011).

Mesyuarat itu akan diadakan di luar acara LID2011 yang akan berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala pertamanya dengan Presiden Zimbabwe Robert Mugabe diikuti Perdana Menteri Swaziland Barnabas Sibusiso, Naib Presiden Uganda Edward Sekandi dan Naib Presiden Kenya Stephen Kalonzo.

Kebanyakan mesyuarat itu akan diadakan di suite Perdana Menteri di pusat konvensyen itu.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengadakan mesyuarat yang sama dengan Presiden Tanzania Jakaya Kikwete pada Isnin.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Swaziland pada Ahad. - BERNAMA

Artikel Lain